MELAKA, 19 Nov  — Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan sasaran namun berharap bakal memenangi jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata ini kerana PN yakin dengan pemilihan calonnya sebagai Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang diterima baik oleh masyarakat selepas pengumuman dibuat.

“Apabila kita meletakkan kesemua 28 kerusi ditandingi oleh PN, harapan besar kami, berusaha bersungguh-sungguh untuk cuba memenangi seberapa banyak kerusi yang kami mampu.

“Bukan saya nak katakan terlalu optimis untuk memenangi semua kerusi tetapi kita perlu bekerja keras hingga tengah malam ini untuk memastikan kesemua calon kita memenangi kerusi,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Parti komponen PN iaitu Bersatu bertanding di 15 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka manakala PAS lapan dan Gerakan lima.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Mas Ermieyati, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan itu memperoleh mandat rakyat untuk membentuk kerajaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada Sabtu ini susulan pembubaran DUN pada 4 Okt selepas empat ahli dewan itu menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here