ISKANDAR PUTERI, 21 Nov — Kerajaan negeri menjangkakan seramai 1,440 orang akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata berdasarkan pembincangan kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura, jumlah pengembara yang menggunakan laluan tersebut dijangka meningkat kepada 2,500 orang pada minggu kedua dan seterusnya 5,000 orang pada minggu ketiga.

Justeru itu, beliau berharap agar pembukaan VTL darat yang dijadualkan berjalan serentak dengan VTL udara pada 29 Nov ini, tidak akan ditangguhkan.

“Berdasarkan keupayaan dan persediaan awal untuk buka sempadan, (dijangkakan) minggu pertama jumlah pergerakan keluar masuk ialah 1,440 orang pengembara.

“Sama ada bilangan ini menggunakan pengangkutan awam atau dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian… ia sedang dimuktamadkan,” kata beliau pada hari kedua Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Hasni berkata Johor telah bersedia dengan segala prosedur operasi standard  (SOP) dan telah pun membangunkan sistem yang boleh membantu kerajaan Persekutuan untuk menampung VTL darat ini.

“Kita ada Johor Travel Safe, sistem yang telah dibangunkan dan telah membantu kerajaan Persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang membenarkan masing-masing seramai 2,000 orang (sehari) dan 400 orang (mingguan),” kata beliau.

Mengenai kategori pengembara yang dibenarkan, Hasni (UMNO-Benut) berharap agar kategori yang sama untuk VTL udara akan dibenarkan juga untuk VTL darat.

Bagi memastikan SOP yang dilaksanakan bersesuaian dengan kapasiti saringan dan pengembara, satu ujian rintis berhubung VTL darat dijangka berjalan esok, kata Menteri Besar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan mengenai kaedah dan SOP VTL darat, kategori dan jumlah pengembara.

Terdahulu, Hasni berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan sedang menyediakan dan mengukuhkan SOP berkenaan VTL darat terutama sekali mengenai prosedur operasi saringan kepada pengembara yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

“Secara prinsipnya, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif VTL Darat ini dan ia merupakan satu langkah progresif untuk pembukaan semulasempadan antarabangsa negara yang selamat.

“Ia adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia dan Singapura, dan berupaya untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara terutama sekali Johor,” kata beliau.

Menurut Hasni, pada 27 Sept lepas, kerajaan negeri Johor telah membentangkan cadangan SOP yang terkini bagi tujuan ulang-alik antara Malaysia dan Singapura dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik Bilangan 37/2021.

“Malaysia dan Singapura telah pun bersetuju bahawa pembukaan sempadan ini akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik yang membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

“Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua negara, kapasiti semasa Tambak Johor dan juga Linkedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perlu diberi perhatian,” kata beliau.

Hasni berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Puah, Chen, Liow, Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar) dan Dr S. Ramakrishnan (PH-Bekok) mengenai status pembukaan semula sempadan Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua dan pelaksanaan VTL darat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here