KUALA LUMPUR, 22 Nov — Petronas tidak merahsiakan prestasi kewangan dan pencapaian syarikat itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata Petronas telah membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan yang kerap mengenai perkembangan dan pencapaian syarikat khususnya prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh diakses oleh orang awam, meskipun ia tidak disenaraikan di bursa saham. 

“Di samping itu, Petronas mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media pada setiap suku tahun dan taklimat kepada media pada setiap separuh tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapa menjawab pertanyaan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mengenai sebab laporan prestasi kewangan Petronas melalui laporan tahunan dirahsiakan dan tidak dilaporkan kepada Parlimen sejak mula beroperasi sehingga kini.

Menurutnya keberkesanan dan keupayaan Petronas dalam membangunkan sektor minyak dan gas selama ini banyak menyumbang kepada pembangunan negara. 

Katanya Petronas mempunyai operasi huluan melibatkan lebih 20 negara dan operasi hiliran di lebih 90 negara. 

“Setakat 2020, sejumlah RM1.2 trilion telah disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, bayaran tunai dan cukai,” katanya. 

Katanya Petronas komited untuk mengekalkan ekosistem perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif bagi pertumbuhan dan kelestarian industri minyak dan gas negara.

“Ini sekali gus membolehkan penglibatan aktif kerajaan-kerajaan negeri dalam peluang pelaburan industri minyak dan gas berdasarkan terma komersial dan kebolehlaksanaan teknikal,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here