KUALA LUMPUR, 24 Nov  — Pameran Zhejiang Cultural and Tourism Exhibition yang berlangsung secara maya membuka lembaran baharu dalam pertukaran dua hala bidang kebudayaan dan pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata pandemik COVID-19 sejak awal tahun lepas membawa bersama cabaran yang cukup hebat, namun kelebihan teknologi membolehkan banyak perkara tetap dapat dilaksanakan walaupun dengan cara yang berbeza, di samping membawa banyak pembaharuan dalam bidang kebudayaan.

“Ia mengubah cara kebudayaan itu berkembang, di samping cara ia diserap dan diterima. Saya mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Zhejiang kerana melaksanakan program maya yang cukup inovatif ini.

“Kami merasa amat gembira dapat dihubungkan dengan Zhejiang, China menerusi cara baharu promosi pelancongan ini,” katanya semasa melancarkan pameran maya itu di Wisma bernama di sini hari ini.

Turut hadir ialah Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing; Ketua Perwakilan Pusat Promosi Pelancongan Zhejiang Datuk Keith Li; Pengerusi Malaysia-China Insight Trilingual News Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain.

Turut menyertai program itu secara maya ialah pengarah Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Zhejiang Chu Ziyu; Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Tourism Board Keith Tan dan Naib Pengerusi Vietnam National Administration of Tourism Ha Van Sieu.

Nancy berkata menerusi pameran secara maya itu, rakyat Malaysia boleh menikmati landskap menarik serta keindahan budaya Zhejiang.

“Saya percaya acara ini akan menjadi permulaan yang baik, dan kita jangka kerjasama yang rapat dan berterusan dengan Zheijang, China, bagi memastikan asas kukuh kepada pemulihan pasca-COVID-19,” katanya.

Nancy berkata China adalah salah satu sumber utama kemasukan pelancong ke Malaysia manakala Zhejiang juga merupakan salah satu destinasi pelancongan popular bagi rakyat Malaysia.

“Hubungan dua hala kita diperkukuh dengan orang ramai saling mengunjungi antara satu sama lain. Sejarah telah membuktikan bahawa pertukaran budaya antara Malaysia dan China telah menyumbang kepada kepelbagaian warisan budaya unik Malaysia yang boleh dilihat hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here