SEREMBAN, 26 Nov  — Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan Belanjawan 2022 yang mencatatkan defisit berjumlah RM88 juta dengan tumpuan terhadap agenda pemulihan serta merancakkan ekonomi negeri.

Mengulas belanjawan bertemakan ‘Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat,’ Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kedudukan rizab kukuh sebanyak RM899 juta itu membolehkan kerajaan negeri memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM520 juta.

Menurutnya, jumlah itu melebihi jangkaan hasil sebanyak RM432 juta yang merangkumi pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai dan insentif bukan kewangan serta bantuan sokongan.  

“Keutamaan Belanjawan Negeri Sembilan bagi 2022 yang dirangka secara menyeluruh dan inklusif itu adalah memberi fokus kepada agenda pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dengan tumpuan sepenuhnya terhadap inisiatif yang boleh merancakkan ekonomi negeri.

“Ini berteraskan dua tekad iaitu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan meningkatkan keupayaan penjanaan pendapatan keluarga,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Kedua (Belanjawan) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini, hari ini.

Aminuddin berkata di bawah Belanjawan 2022, kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM130 juta bagi melaksanakan tiga strategi menerusi sejumlah 52 inisiatif yang menumpukan lapan bidang termasuk ekonomi rakyat, pendidikan serta kebajikan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat itu berkata sejumlah RM64.09 juta diperuntukan bagi melaksanakan 40 inisiatif sedia ada selain 12 inisiatif baharu.

Mengulas prestasi Belanjawan 2021 dengan unjuran hasil sebanyak RM448 juta, beliau berkata kutipan hasil negeri sehingga 15 Nov lepas mencecah RM334.27 juta atau 74.6 peratus.

“Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sebelum ini menyebabkan hampir kesemua sektor ekonomi tergendala dan terjejas termasuk pembangunan hartanah, pembinaan dan pelancongan yang menyebabkan penyusutan hasil bukan cukai seperti bayaran premium dan royalti,” katanya.

Bagaimanapun, Aminuddin optimis Negeri Sembilan mampu mencatat kutipan hasil sekurang-kurangnya 90 peratus daripada anggaran Belanjawan 2021 menerusi pelbagai usaha dan strategi dilaksanakan oleh semua pihak terbabit.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membangunkan Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 yang merupakan pelan jangka sederhana bagi pembangunan ekonomi.

Menurutnya, rancangan itu menumpukan bidang makroekonomi dan fiskal negeri, keusahawanan serta perusahaan kecil dan sederhana, modal insan, penggunaan sumber alam selain sektor bernilai tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here