BAU, 27 Nov — Pampasan tanah sebanyak RM9.648 juta bagi dua projek pembangunan kerajaan telah diserah kepada 192 penduduk Bau di Dewan Redeems Centre, Singai di sini hari ini.

Pampasan sebanyak RM5.56 juta diberi kepada 163 penduduk bagi Projek Naik Taraf Jalan Kampung Tanjung Poting, Tanjung Senibong dan Tanjung Bowang manakala pampasan sebanyak RM4.088 juta diberi kepada 29 penduduk bagi Projek Jalan Di Kampung Apar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan cek pampasan kepada penerima.

Beliau berkata kerajaan boleh mengelak daripada mengambil tanah penduduk di Bau bagi melaksanakan projek pembangunan tetapi ia mungkin terletak di sempadan yang jauh dari kebanyakan penduduk.

“Projek ini untuk masyarakat kita, memudahkan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air, sistem telekomunikasi, jalan raya dan untuk bangunkan kawasan kita,” katanya.

Awang Tengah juga berkata justeru, kerajaan terpaksa mengambil tanah penduduk bagi melaksanakan projek pembangunan.

Beliau berkata sama ada tanah terbabit mempunyai hak milik atau tiada surat hak milik tetapi ada bukti sahih bahawa ia adalah tanah hak adat mereka maka penduduk terbabit akan dibayar pampasan yang sewajarnya.

“Ini adalah selaras dengan Kanun Tanah Negeri kita serta sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dan kita tidak buat sebarangan,” katanya.

Awang Tengah turut mendedahkan ada penduduk meminta kerajaan mempertimbang pengambilan tanah mereka untuk projek itu kerana itu sahaja aset yang mereka miliki.

Beliau meminta pemilik tanah terbabit berbincang dengan Jabatan Kerja Raya bagi membuat pelarasan semula terhadap projek, sekiranya boleh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here