KUALA LUMPUR, 3 Dis  — Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 akan diadakan pada 28 hingga 30 Mac tahun depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau berkata DSA 2022 dan NATSEC Asia 2022 akan dilengkapi dengan platform maya sebagai komponen nilai tambah bagi membantu peserta mengakses kandungan sebelum, semasa dan selepas pameran, dan dijangka lebih 1,000 syarikat dari 54 negara akan menyertai acara ini.

“Saya memuji penganjur kerana mengambil inisiatif mengadakan siri DSA dan NATSEC Asia sebagai acara secara hibrid yang pertama kali dalam sejarah sejak siri ini dianjurkan.

“Penganjur DSA mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Malaysia khususnya daripada kementerian saya dan Kementerian Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media bersama dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas melancarkan DSA dan NATSEC Asia 2022 di sini.

Hishammuddin berkata DSA terbukti lebih sekadar pameran atau persidangan, ia adalah platform yang tidak ternilai dalam menghimpunkan pelbagai pemimpin industri, kerajaan, agensi ketenteraan dan pertahanan dari seluruh rantau ini dengan tujuan menjalin kepercayaan dan kerjasama antara semua pihak.

Beliau berkata tema DSA 2022 iaitu ‘Advancing into a New Era of Defence and Security’, memaparkan peranan besar yang dimainkan dalam meletakkan Malaysia dalam peta pertahanan antarabangsa, terutamanya ketika beralih ke era pascapandemik.

Sementara itu, Pengerusi Pameran dan Persidangan DSA Tan Sri Asmat Kamaluddin berkata DSA 2022 juga akan menyaksikan kembali beberapa ciri khas dan baharu dari segi persidangan, forum, pemeteraian kontrak; pavilion antarabangsa, acara padanan perniagaan; dan demonstrasi ‘CTF Cyber War Games’, ‘Unmanned Systems’, dan ‘Combat Artificial Intelligence’.

“Berikutan kejayaan penganjuran sulung NATSEC pada 2018, DSA 2022 juga menyaksikan kembalinya acara perintis ini yang telah menunjukkan potensi besar untuk berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri berbesar hati untuk menyokong acara seperti DSA dan NATSEC.

“Walaupun masih di peringkat awal, NATSEC bersedia menjadi pameran keselamatan negara yang berdedikasi dengan memanfaatkan sistem pengurusan delegasi VIP DSA yang diiktiraf di peringkat global.

“Dengan delegasi berkualiti tinggi yang dibawa sepanjang tempoh acara itu, NATSEC sekali lagi akan menjelaskan isu serantau dan antarabangsa serta mewujudkan kerjasama saling menguntungkan demi kepentingan dalam memajukan keselamatan negara dan antarabangsa,” katanya.

Hamzah berkata acara itu turut menyaksikan penyertaan perwakilan peringkat tinggi dari seluruh dunia, termasuk rakan sejawatannya, ketua polis negara serta ketua pengarah kastam, imigresen, maritim dan agensi penguatkuasaan, risikan keselamatan, jabatan penjara, jabatan bomba dan penyelamat, bersama-sama dengan wakil mereka.

“Saya percaya masanya akan tiba tidak lama lagi apabila NATSEC akan terus menjadi acara keselamatan kebangsaan global yang sewajarnya,” katanya.

DSA dan NATSEC Asia 2022 terbuka kepada delegasi peringkat tinggi, kakitangan kerajaan, profesional dan eksekutif dalam industri pertahanan dan keselamatan serta kakitangan polis dan agensi penguatkuasaan sahaja, yang kini bersedia untuk mengalu-alukan kehadiran pempamer dan pengunjung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here