KUALA LUMPUR, 3 Dis — Program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia anjuran Kraftangan Malaysia di Kompleks Kuala Lumpur menyasarkan jualan kraftangan bernilai RM3 juta sepanjang enam hari penganjuran program itu yang bermula hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata program yang diadakan sempena sambutan Hari Batik Malaysia dan menghimpunkan seramai 300 usahawan dan komuniti kraf itu juga dijangka menerima kira-kira 20,000 pengunjung.

Katanya, program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia berkenaan diadakan sebagai manifestasi hasrat dan komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meningkatkan usaha menyebarluaskan konsep dan hala tuju Keluarga Malaysia.

“Program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia ini menghimpunkan komuniti kraf di bawah satu bumbung Keluarga Malaysia. Eksposisi Komuniti Kraf, Craft Showcase, Penyerahan Watikah Pelantikan Adiguru Kraf dan Webinar Antarabangsa Kelestarian Dalam Kraf merupakan antara aktiviti yang memeriahkan program ini,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini hari ini.

Sementara itu, Santhara percaya program Komuniti Kraf Keluarga Malaysia dan sambutan Hari Batik Malaysia berpotensi untuk membantu komuniti kraf meningkatkan pengeluaran serta memperluas pasaran produk mereka.

Katanya, usaha jitu itu akan memberi impak positif kepada komuniti kraf batik serta industri kraf umumnya, selaras dengan Hala Tuju Kraftangan Malaysia iaitu ‛Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat’.

“Saya yakin usaha-usaha tersebut sudah pasti dapat melonjakkan kembali industri kraf dalam meningkatkan semula ekonomi usahawan dan komuniti kraf yang terjejas kesan pandemik COVID 19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here