SHAH ALAM, 7 Dis — Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini diberitahu seramai 55 pelajar di negeri itu menjadi yatim piatu susulan COVID-19 sejak Januari 2020 hingga September lepas berdasarkan rekod Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata dalam tempoh sama, seramai 1,648 pelajar menjadi yatim iaitu ibu atau ayah meninggal dunia ekoran wabak tersebut.

Bilangan anak yatim tertinggi akibat COVID-19 direkodkan di Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana, katanya menjawab soalan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang ingin tahu bilangan anak yatim dan yatim piatu di Selangor akibat COVID-19 dari Januari 2020 hingga September 2021.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja V. Ganabatirau berkata kerajaan negeri akan menyelaraskan bantuan program Kasih Ibu Smart Selangor Ibu Tunggal (Kiss IT) supaya lebih ramai golongan itu menerima manfaat.

Beliau berkata data terkini hingga Oktober lepas merekodkan seramai 1,661 individu menerima manfaat berbanding 5,000 kuota yang sediakan.

“Program ini akan dinaik taraf kepada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dalam Belanjawan 2022,” katanya.

Ganabatirau menjawab soalan tambahan Harumaini Omar (Pejuang-Batang Kali) yang ingin tahu  mengapa penerima program Kiss IT untuk ibu tunggal merekodkan jumlah yang sedikit berbanding kuota diperuntukkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here