KUALA LUMPUR, 13 Dis — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang membangunkan satu rangka tindakan dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (Malaysia Space-X 2030) dalam memacu pertumbuhan serta mewujudkan ekosistem sektor angkasa negara yang mampan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata rangka tindakan penyediaan strategi untuk tempoh 10 tahun itu, selaras dengan Dasar Angkasa Negara 2030 khususnya menerusi teras keempat yang menggariskan usaha yang menyumbang kepada ekonomi dan kesejahteraan negara.

Beliau berkata terdapat empat inisiatif utama yang sedang dirancang dan akan dilaksanakan di bawah Malaysia Space-X 2030 antaranya program pembangunan satelit penderiaan jarak jauh.

“Program ini akan dilaksanakan melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) yang bertujuan mewujudkan peluang kerjasama strategik antara kerajaan dan industri tempatan dalam pembangunan teknologi satelit buatan tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai perancangan MOSTI untuk membantu pembangunan industri angkasa negara dan seterusnya menarik pelaburan dari luar negara bagi melengkapkan ekosistem angkasa negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata program itu berpotensi untuk meningkatkan pertumbuhan industri pembuatan komponen satelit, industri hiliran berasaskan data berteraskan teknologi angkasa dan industri sampingan.

Menerusi Malaysia Space-X 2030, beliau berkata Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) juga akan membangunkan Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 yang menetapkan matlamat, fokus dan keutamaan pelbagai aktiviti teknologi angkasa bagi memacu industri angkasa tempatan supaya lebih kompetitif serta berdaya saing.

“Inisiatif ketiga adalah pemerkasaan kapasiti infrastruktur angkasa negara. Kerajaan menerusi MOSTI juga telah membangunkan infrastruktur teknologi maju angkasa bertaraf antarabangsa di bawah seliaan MYSA yang merangkumi fasiliti pemasangan, integrasi dan pengujian satelit; fasiliti kawalan misi satelit di Banting serta Stesen Penerima Data Satelit Remote Sensing di Temerloh,” katanya.

Bagi pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam sektor angkasa, beliau berkata MOSTI akan mempertingkatkan jaringan kerjasama melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan pusat kecemerlangan di negara-negara maju dalam bidang teknologi angkasa.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan negara berlandaskan  penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) termasuk melalui pemindahan teknologi maju berkaitan angkasa seperti teknologi satelit, pelancar, sistem antena dan teknologi kecerdasan buatan dalam pemprosesan data raya yang berkaitan bagi pembangunan kepakaran di sektor industri tempatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here