KUALA LUMPUR, 16 Dis — Malaysia komited menyokong usaha Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dalam menangani gejala rasuah di peringkat global, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata komitmen berkenaan dibuktikan melalui usaha kerajaan menyita sebahagian besar aset hasil rampasan daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas skandal rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berjumlah RM5 bilion, serta pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 melalui Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).

“Kerajaan turut memperkenalkan peruntukan baharu di bawah seksyen 17A Akta SPRM 2009 berhubung liabiliti korporat yang berkuat kuasa pada 1 Jun tahun lepas dan penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk memerangi rasuah dalam sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata Akta Ombudsman diperkenalkan bagi menangani salah tadbir dalam agensi awam serta mewajibkan sektor awam dan swasta membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi mengenal pasti risiko rasuah dalam organisasi.

Wan Junaidi berkata usaha kerajaan ke persidangan berkenaan mampu mengembalikan keyakinan orang awam terhadap institusi kerajaan dan meletakkan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa dalam ekosistem bebas rasuah.

Sebelum ini, Malaysia menjadi antara 152 negara anggota UNCAC yang hadir ke persidangan dwitahunan antirasuah peringkat antarabangsa ke-9  (COSP) yang berlangsung selama lima hari bermula 13 Dis lepas di Pusat Kongres Antarabangsa, Sharm El- Sheikh, Mesir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here