KOTA BHARU, 17 Dis — Sokongan kuat dan kepercayaan perlu diberikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang telah membuktikan kewibawaannya mentadbir negara dengan baik dan cemerlang sejak menyandang jawatan itu Ogos lepas.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan pentadbiran beliau jelas dicapai menerusi pelaksanaan Aspirasi Keluarga Malaysia, yang merangkumi program serta inisiatif melibatkan 31 Menteri yang menerajui 26 kementerian dan 5 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh 100 hari pertama selepas pelantikan mereka.

“Segala dasar dan rancangan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri menunjukkan petanda bahawa kerajaan berada di landasan yang betul.

“Justeru itu, beliau perlu diberi peluang yang secukupnya sehingga tamat tempoh penggal ke-14 Parlimen pada 2023,” kata Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Ketereh di Yayasan Kemiskinan Kelantan hari ini.

Tedahulu, UMNO Ketereh sebulat suara meluluskan usul menyokong penuh kepimpinan Ismail Sabri sehingga 2023 dalam usaha memulihkan ekonomi, keselamatan rakyat, politik dan sosial setelah dibelenggui pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Annuar berkata dalam memastikan agenda membela rakyat terus terpelihara, Ismail Sabri dilihat mampu meneruskan pelbagai perancangan ke arah usaha itu.

“Perdana Menteri perlu diberi ruang yang seluas-luasnya untuk memimpin negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berpendapat pemilihan UMNO perlu disegerakan bagi membolehkan parti itu menumpukan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Lagi cepat kita uruskan proses pemilihan parti, maka lebih cepat kita dapat buat persiapan menghadapi PRU ke-15,” katanya.

Terdahulu semasa merasmikan mesyuarat itu, Annuar meminta UMNO supaya terus memainkan peranan dalam menerajui usaha menyatupadukan parti politik orang Melayu selain meneruskan kerjasama dan permuafakatan dengan PAS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here