KUALA LUMPUR, 19 Dis — Kerjasama konstruktif Melayu-Cina melalui UMNO dan MCA terbukti lebih menguntungkan masyarakat Cina berbanding pendekatan agresif oleh DAP, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ini kerana sepanjang era pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan, terbukti sifat keterlaluan DAP tidak mampu memenangi hati rakyat pelbagai bangsa.

Justeru, beliau berkata MCA tidak perlu berasa begitu terancam dengan DAP, sehingga merasakan parti itu perlu menunjukkan sikap yang lebih chauvinistik, dan kini parti gabungan Barisan Nasional itu semakin menyerlahkan kematangannya dalam berpolitik.

“Paling menonjol adalah resolusi diluluskan oleh Perhimpunan Agung MCA ke-67 Mac lepas yang menyeru semua parti menghentikan segala bentuk percaturan politik, sebaliknya tumpukan perhatian terhadap usaha-usaha membendung penularan pandemik COVID-19, membantu rakyat serta memulihkan ekonomi negara.

“Syabas MCA! Terapkanlah dalam jiwa ahli-ahli muda MCA mengenai sejarah, asal-usul, tradisi dan sistem yang telah dibentuk oleh para pengasas parti. Kesederhanaan, keadilan, kesaksamaan dan pandangan jauh mendiang Tun Tan Cheng Lock, harus sentiasa dijadikan panduan,” katanya dalam ucapan beliau secara maya pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di sini hari ini.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here