KUALA LUMPUR, 22 Dis — Situasi banjir setakat tengah hari ini menunjukkan sedikit ‘sinar’ apabila jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri semakin menurun berbanding pagi tadi.

Ia termasuk negeri yang terjejas teruk akibat bencana itu iaitu Pahang dan Selangor, selain Perak dan Kelantan yang turut mencatat penurunan jumlah mangsa, manakala Melaka dan Terengganu jumlah mangsa kekal seperti pagi tadi.

Setakat petang ini, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa seramai 63,649 orang dengan 413 PPS dibuka setakat ini melibatkan tujuh negeri iaitu Pahang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir merekodkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 38,810 orang yang kini ditempatkan di 285 PPS di sembilan daerah setakat 12 tengah hari ini, berbanding 42,529 orang di 281 PPS pagi tadi.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir dijangka berlaku di beberapa lokasi melibatkan daerah Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin pada sebelah petang.

Pemegang konsesi lebuh raya utama di Pahang, ANIH Bhd melaporkan laluan Bentong ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan laluan Chenor ke Karak di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) belum boleh dilalui di kedua-dua arah.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa juga menurun kepada 21,047 orang di 117 PPS setakat 12.30 tengah hari tadi berbanding 23,633 orang di 128 PPS pagi tadi.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), aras air sungai setakat 7 pagi menunjukkan tiga sungai di negeri itu berstatus bahaya dengan trend menaik melibatkan Sungai Rasau di Tugu Keris, Klang; Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat.

Sementara itu di KUALA LUMPUR sebanyak 319 mangsa daripada 80 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Kelab Sultan Sulaiman dan SJK (T) Saraswathy setakat  kemas kini terakhir pada 12.29 tengah hari.

Di PERAK, seramai 259 mangsa banjir masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak setakat 12 tengah hari berikutan air yang belum surut di kediaman masing-masing.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata cuaca di lokasi banjir ketika ini mendung sejak pagi manakala paras air di empangan-empangan Sungai Perak berada di bawah paras amaran.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN menunjukkan penurunan setakat 12 tengah hari apabila seramai 2,415 orang daripada 760 keluarga ditempatkan di 14 PPS di Pasir Mas dan Kuala Krai berbanding 2,500 orang daripada 786 keluarga, pagi tadi.

Portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.44 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.38 m). 

Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir di negeri itu kekal 329 orang daripada 89 keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di lima PPS di Seremban dan Jelebu, manakala di MELAKA bilangan mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin kekal 165 orang daripada 41 keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here