KUALA LUMPUR, 22 Dis — Sektor koko dan lada berjaya mengharungi kemelut pandemik untuk terus mempamerkan pretasi baik, mengikut rentak keperluan dalam memenuhi permintaan dunia yang semakin meningkat, manakala timah mengalami gangguan pengeluaran dan emas pula kebanyakannya tidak diniagakan tahun ini.

Lada dan koko kekal sebagai komponen utama ekonomi negara, dengan kedua-duanya merekodkan peningkatan dari segi nilai eksport tahun ini.

Sebagai contoh, eksport lada setakat Oktober tahun ini berjumlah RM117 juta, melonjak 22 peratus daripada RM96 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil eksport koko meningkat 9.4 peratus kepada RM5.07 bilion.

Logam timah bagaimanapun, menyaksikan sesi dagangannya dipendekkan, berikutan pengumuman force majeure oleh pengeluar bijih timah ketiga terbesar dunia, Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC).

Strata berpendapatan tinggi rancakkan permintaan untuk koko

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), peningkatan permintaan terhadap komoditi itu walaupun dunia dilanda COVID-19 menunjukkan permintaan untuk makanan berkualiti seiring dengan strata pendapatan rakyat yang berkembang dengan China, antara negara pengguna tinggi.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata trend ini dijangka berterusan mendahului populasi dunia yang diunjur mencecah 10 bilion pada 2050.

Justeru, beliau menyeru agar negara untuk melihat kembali sektor pertanian sebagai sumber peluang pekerjaan yang berpotensi selain meningkatkan pelaburan modal dalam memodenkan sektor ini.

“Menyedari kepentingan kesan pandemik COVID-19 terhadap pengeluaran pertanian dan harga, jaminan keselamatan makanan telah menjadi semakin penting,” kata Mohd Uzir pada November.

Mengulas mengenai prestasi koko tahun ini, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Lembaga Koko Malaysia Dr Ramle Kasin berkata Malaysia berada di kedudukan kedua terbesar dalam pengisaran koko dan kesembilan dari segi pengeluaran di Asia.

“Dari Januari hingga September 2021, hasil eksport biji dan produk koko meningkat 9.4 peratus kepada RM5.07 bilion daripada RM4.59 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Mentega koko merupakan penyumbang tertinggi dari segi hasil eksport, iaitu 36.9 peratus, diikuti serbuk koko 22.9 peratus dan coklat 14.8 peratus,” katanya kepada Bernama.

Mentega koko Malaysia dieksport terutamanya ke Amerika Syarikat (15.7 peratus), diikuti Jepun (12.4  peratus) dan Turki (10.4 peratus).

Bagi serbuk koko, China merupakan pembeli utama, menguasai 12.1 peratus, Thailand (9.2 peratus), dan Indonesia (8.2 peratus). Coklat dieksport terutamanya ke Jepun (23.1 peratus), China (12.0 peratus) dan Thailand (9.5 peratus).

“Mengikut rantau pula, rantau Asia-Oceania ialah rakan dagang utama koko dan produk koko Malaysia, menyumbang 61.3 peratus daripada jumlah hasil eksport bagi Januari hingga September 2021,” katanya.

Menyentuh mengenai pengisaran, Ramle berkata dari Januari hingga September 2021, pengisaran biji koko meningkat 9.5 peratus kepada 250,438 tan daripada 76,461 tan sebelum ini.

Bagaimanapun, pengeluaran biji koko tempatan bagi Januari hingga September 2021 ialah 436 tan, turun 8.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan pengeluaran tempatan untuk memenuhi kapasiti pengisaran sambil menambah pada 2021, lebih 95 peratus pengisaran adalah biji koko yang diimport.

Lada

Menurut Lembaga Lada Malaysia, lada Sarawak yang terkenal dengan kualiti premium dan aroma unik, masih mendapat permintaan tinggi, sekali gus menjadikan Malaysia pesaing utama kepada negara pengeluar lada utama dunia, terutamanya Vietnam, Indonesia dan India.

Malaysia adalah pengeluar lada kelima terbesar di dunia.

Ia berkata pengeluaran lada untuk Vietnam ialah 240,000 tan, Indonesia (77,000 tan) dan India (60,000 tan) pada 2020, manakala Malaysia sebanyak 30,800 tan.

“Nilai pasaran keseluruhan lada putih Malaysia meningkat kepada lebih RM60 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini daripada RM40 juta tahun lepas disebabkan pengeluaran lada yang lebih rendah, dan ia dilihat sebagai satu kelebihan dalam menjana pendapatan negara,” tambah lembaga itu.

Timah dan Emas

Pengisytiharan force majeure oleh MSC, yang berkuat kuasa pada 7 Jun sebagai langkah untuk membendung COVID-19 daripada mengganggu pengeluaran, telah ditarik balik pada 20 Dis.

Force majeure adalah klausa umum dalam kontrak yang pada dasarnya membebaskan pihak terbabit daripada liabiliti atau kewajiban akibat peristiwa luar biasa serta keadaan di luar kawalan mereka.

Dilaporkan bahawa MSC menyumbang 7.0 peratus daripada bekalan global yang dianggarkan kira-kira 330,000 tan pada 2020. Menurut Persatuan Timah Antarabangsa, MSC menghasilkan 22,400 tan timah pada tahun 2020.

Dengan sesi dagangan dipendekkan, Pasaran Timah Kuala Lumpur (KLTM) merekodkan paras tertinggi dari awal tahun sehingga kini (YTD) pada US$32,350 satu tan pada 7 Mei, didorong oleh permintaan yang kukuh.

Bagi emas, dagangan di Niaga Hadapan Emas Bursa Malaysia Derivatives (FGLD) mencecah paras tertinggi tahun ini iaitu RM255 segram pada 8 Dis dan serendah RM225 segram pada 31 Mei.

Logam berharga ini kebanyakannya kekal tidak diniagakan tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here