KUALA LUMPUR, 24 Dis  — Datuk Seri Mazlan Lazim menyerahkan jawatan Timbalan Ketua Polis Negara kepada Datuk Razarudin Husain dalam satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Razarudin sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada Mazlan atas segala pengorbanan, jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang 35 tahun dalam PDRM.

“Seluruh warga PDRM mengucapkan tahniah kepada Razarudin atas pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu dan yakin kepadanya yang berpengalaman luas dalam bidang kepolisan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Pelantikan Razarudin sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa pada 26 Dis ini menggantikan Mazlan, 59, yang bersara wajib esok.

Pelantikan Razarudin, 58, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here