Riyadh, 27 Dis — Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas kejadian banjir yang telah melanda beberapa buah negeri di Malaysia dan mengakibatkan kematian dan kecederaan.

Menurut kenyataan Baginda yang disiarkan oleh Agensi Berita Arab Saudi (SPA) baru baru ini, Baginda menerima khabar berita mengenai banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia yang telah menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan.

“Kami ucapkan takziah dan simpati kepada Malaysia dan keluarga mangsa banjir yang terlibat. Dan Kami berdoa kepada Allah SWT agar mencucuri rahmat kepada mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia, dan memohon kesembuhan bagi semua yang tercedera,” katanya.

Sementara itu, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz, Putera Mahkota, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, juga menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada Ismail Sabri Yaakob, kesemua keluarga mangsa banjir yang maut, mereka yang cedera dan rakyat Malaysia amnya kerana malapetaka itu.

Pada Ahad, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi kenyataan memaklumkan Menteri Kabinet Arab Saudi Putera Turki bin Mohammad bin Fahd bin Abdulaziz menzahirkan hasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat banjir.

Beliau berkata sumbangan dan bantuan ini akan disalurkan melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here