KUALA LUMPUR, 28 Dis — Seorang anggota jemaah umrah Malaysia yang baru tiba di tanah air semalam menyifatkan peranti pengesanan digital yang dipakaikan pada tangannya itu, seumpama jam tangan yang tidak boleh ditanggalkan selama lapan hari.

Ketika bercerita mengenai pemakaian peranti itu, petugas agensi di bawah kerajaan Selangor Jamilah Muhammad Jamil, 48, berkata peranti yang yang dipakaikan padanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu kalis air, sekali gus boleh dipakai ketika berwuduk dan mandi.

Menurutnya walaupun keputusan ujian saringan COVID-19 yang dijalaninya di KLIA semalam adalah negatif, beliau masih perlu menjalani ujian calitan kedua pada 31 Dis ini, sebelum peranti itu boleh dibuka pada hari kelapan iaitu pada 3 Jan.

Sabtu lepas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan semua individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib selama tujuh hari selepas pulang daripada menunaikan umrah, diwajibkan memakai peranti pengesanan digital berkenaan mulai minggu ini.

Khairy berkata pelaksanaan pemakaian peranti itu dibuat berikutan terdapat 30 daripada 49 kes baharu COVID-19 membabitkan varian Omicron di Malaysia merupakan kes import dari Arab Saudi, yang dikesan pada 23 dan 24 Dis lepas.

Jamilah berkata sebaik tiba di lapangan terbang KLIA, beliau terpaksa menunggu hampir tiga jam bagi menyelesaikan urusan pemakaian peranti berkenaan.

“Selain itu satu lagi peranti kawalan yang berbentuk kotak perlu diletakkan di tengah rumah,” katanya yang menetap di Klang, Selangor, ketika dihubungi hari ini. 

“Peranti berbentuk kotak itu tidak boleh dialihkan kerana didaftarkan dan diset berdasarkan lokasi alamat rumah saya dan kotak itu mampu mengesan dan menghantar amaran jika pemakai peranti digital di tangan keluar dari rumah,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here