GEORGE TOWN, 5 Jan — Pengusaha bas sekolah di negeri ini menghela nafas lega apabila sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 bagi negeri-negeri Kumpulan B termasuk Pulau Pinang, akan bermula pada 10 Jan ini.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Pulau Pinang Ang Beng Teong, 68, berkata dari segi persiapan pihaknya melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan malah turut mengingkatkan ibu bapa supaya menjaga kesihatan diri dan anak-anak agar sebarang bentuk penularan COVID-19 dapat dikekang sepenuhnya dalam kalangan pelajar sekolah.

“Kita akan pastikan setiap kanak-kanak yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah sihat serta mengimbas suhu dan menggunakan pencuci tangan sebelum menaiki bas.

“Malah, kita juga akan melakukan kerja sanitasi sebelum memulakan perkhidmatan pada sebelah pagi, tengah hari dan malam, demi memastikan keadaan bas sentiasa bersih dan keselamatan penumpang terjamin,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Langkah kawalan dan pencegahan, katanya, perlu dimulakan dari rumah kerana ia mampu membendung sebarang bentuk penularan wabak dalam kalangan penumpang bas sekolah itu serta dirinya sebagai pemandu.

“Kalau semua jaga prosedur operasi standard (SOP), penyakit dapat dielakkan. Kerajaan juga perlu laksanakan tindakan lebih ketat dalam memastikan SOP kekal dipatuhi,” katanya.

Sementara itu, Ang berkata kira-kira 30 daripada 200 orang anggota persatuan itu terpaksa gulung tikar tahun lepas berikutan pandemik COVID-19 dan beralih kepada pekerjaan lain demi meneruskan kelangsungan hidup.

Beliau berkata arahan penutupan sesi persekolahan yang tidak berkala apabila kes meningkat dan penemuan varian baharu seperti Omicron, turut menimbulkan keresahan pengusaha bas dan ibu bapa, khususnya berkaitan pembayaran yuran perkhidmatan bas sekolah.

Menurut Ang, pihaknya memahami situasi kewangan ibu bapa yang terkesan akibat pandemik dan menerima separuh daripada jumlah bayaran yuran bulanan, iaitu sekitar RM100 hingga RM200, bergantung pada jarak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here