KANGAR, 7 Jan — Kadar jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang tanpa izin dan penyeludupan daun ketum sepanjang tahun lepas mengalami penurunan yang ketara susulan kerjasama baik antara masyarakat setempat dengan polis kontinjen Perlis.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata penurunan jenayah rentas sempadan ini adalah hasil kerjasama maklumat awal yang disalurkan orang ramai yang membantu pihak polis melakukan langkah pencegahan.

“Saya sendiri pernah dihubungi oleh orang awam yang menyalurkan maklumat kepada pihak polis kerana mereka ingin kawasan mereka bebas daripada aktiviti jenayah dan ia harus diberi pujian,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sepanjang tahun lepas 74 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada warga Myanmar, Thailand, India, China serta Indonesia ditahan, berbanding 234 pada tahun sebelumnya, manakala pelarian Rohingya langsung tidak dikesan di negeri ini sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata tangkapan dan penyeludupan daun ketum ke negara jiran juga mencatatkan penurunan apabila tahun lepas menyaksikan polis menahan 346 individu dan merampas 178,402.60 kilogram (kg) daun ketum berbanding 441 tangkapan dan rampasan 183,264.62kg daun ketum pada tahun sebelumnya.

Surina berkata rampasan dadah turut mencatatkan penurunan, dengan rampasan dadah jenis heroin turun sebanyak 30.5 peratus iaitu daripada 4,533.12 gram (g) tahun 2020 kepada 3,149.10g tahun lepas, manakala rampasan syabu turun sebanyak 91.5 peratus iaitu daripada 129,711.94g pada tahun 2020 kepada 10,986.23g tahun 2021.

Bagaimanapun menurutnya rampasan dadah jenis ganja menampakkan peningkatan, iaitu daripada 103,978.67g pada tahun 2020 kepada 413,933.11g tahun lepas.

Beliau berkata pencapaian kontinjen Perlis ini juga juga adalah hasil kejayaan Ops Benteng dan Ops Wawasan yang banyak membantu usaha pencegahan jenayah rentas sempadan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here