KUALA LUMPUR, 7 Jan  — Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) telah mewujudkan Dana Bantuan Banjir tanggungjawab sosial korporat (Dana CSR) berjumlah RM2.43 juta bagi meringankan beban pemilik kenderaan ditenggelami air susulan bencana banjir baru-baru ini yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh negeri.

Kenyataan PIAM hari ini memaklumkan Dana CSR itu adalah dalam bentuk subsidi bagi kos pembersihan mekanikal (tidak termasuk pembaikan) di mana-mana bengkel bagi mempercepat bayaran penyelesaian tuntutan banjir, penafian dokumentasi tuntutan mandatori tertentu, memudahkan proses tuntutan dan pelepasan khas tambahan yang mungkin disediakan oleh penanggung insurans individu.

Menurut PIAM, subsidi itu diberi berdasarkan setiap kenderaan termasuk motosikal dan kenderaan persendirian  termasuk kenderaan komersial tanpa mengira jenis polisi.

“Polisi insurans kenderaan mestilah sah ketika banjir dan sekiranya tarikh polisi tamat tempoh, kenderaan perlu diinsuranskan sekurang-kurangnya pada atau selepas 1 Jun 2021. Subsidi adalah berdasarkan kos sebenar yang ditanggung dan dihadkan kepada maksimum RM100 bagi setiap motosikal dan RM500 bagi setiap kenderaan persendirian atau komersial.

“Tuntutan subsidi yang berjaya tidak akan menjejaskan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut pemegang polisi yang layak boleh memohon subsidi secara dalam talian melalui portal http://mycsr-flood.my/ mulai 15 Jan.

“Bayaran tuntutan kepada pemohon yang layak serta memenuhi semua kriteria Dana CSR akan dikreditkan terus ke akaun bank yang diberikan. Bagi pemohon yang memberikan alamat e-mel, mereka akan dimaklumkan melalui e-mel sebaik sahaja pembayaran dibuat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here