PUTRAJAYA, 10 Jan — Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mengesyorkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan, langkah membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat kepada majlis itu.

Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata MPN berpandangan bahawa pembukaan sempadan negara adalah salah satu daripada langkah penting, yang akan menyokong proses pemulihan negara.

“MPN berpandangan bahawa tanpa rancangan yang kemas, penutupan sempadan dalam satu tempoh yang tidak menentu akan memberi kesan kepada cepat atau lambat proses pemulihan negara,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memberi taklimat dalam mesyuarat MPN hari ini mengenai trend penularan varian Omicron, serta inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi memastikan penularan Omicron tidak memberi kesan buruk kepada negara, termasuk mengetatkan kawalan sempadan.

Muhyiddin berkata MPN mengesyorkan satu jawatankuasa dibentuk antara kementerian terlibat, untuk mencadangkan langkah membuka semula sempadan negara kepada pihak majlis iaitu “bila dan bagaimana dapat dibuka secara berperingkat.”

Beliau berkata MPN turut mengesyorkan agar Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membuat perancangan awal, bagi persiapan sebelum bencana banjir dan langkah pemulihan pasca banjir yang berlaku setiap tahun.

Katanya NADMA, Jabatan Meteorologi dan Kementerian Alam Sekitar dan Air dicadangkan lebih proaktif untuk melihat kepada penggunaan teknologi jangkaan baharu, dalam menangani isu bencana alam sekitar.

Muhyiddin berkata MPN turut mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama Kementerian Sumber Manusia, memperhalusi langkah untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing bagi sektor perikanan laut dalam.

Beliau berkata masalah berkenaan menyebabkan jumlah pendaratan ikan berkurangan dan bekalan ikan di pasaran terganggu, sekaligus menjejaskan pemulihan dalam sektor perikanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here