PASIR MAS, 12 Jan — Polis menahan 46 pendatang tanpa izin warga Myanmar kerana didapati memasuki negara ini secara haram dalam dua serbuan berasingan di Jalan Pusu 40 dan Kampung Sapi, Jeram Perdah di sini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada 30 lelaki dan 16 wanita berusia 11 hingga 44 tahun kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen dan disyaki baru sahaja memasuki negara ini.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, pihaknya telah menahan seorang kanak-kanak dan lima remaja berusia antara 11 hingga 17 tahun di sebuah lot kedai tidak bernombor di Jalan Pusu 40 pada 4.45 petang.

“Dalam serbuan itu, dua anggota kereta peronda MPV telah membuat pemeriksaan di sebuah lot kedai yang tidak bernombor dan menemukan enam warga Myanmar terdiri daripada seorang lelaki dan lima perempuan bersembunyi di dalamnya.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah untuk berada di negara ini dan kesemua mereka mengaku warga Myanmar. Mereka ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata berdasarkan siasatan, kesemua warga Myanmar itu mengaku baru sehari tiba di negara ini dengan dihantar oleh seorang lelaki warga Thailand menggunakan kenderaan dan telah tinggal di lot kedai lama tersebut tanpa kebenaran mana-mana pihak.

Katanya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 51 (3) Akta Imigresen (Pindaan 2002) iaitu peruntukan menahan warganegara asing yang ditangkap untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam serbuan kedua di Kampung Sapi, Jeram Perdah pada 10 malam hari sama, polis menahan 40 warga Myanmar terdiri daripada 29 lelaki dan 11 perempuan berusia 14 hingga 44 tahun.

Katanya, kesemua suspek ditemukan bersembunyi di dalam kawasan semak yang gelap dipercayai selepas memasuki negara ini melalui pengkalan haram Jeram Perdah 2.

“Mereka berjaya ditahan walaupun cuba melarikan diri manakala hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Beliau berkata kesemua pendatang itu disyaki akan dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dalang yang menyediakan pengangkutan untuk menghantar mereka ke sana. 

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here