SHAH ALAM, 21 Jan — Pelaksanaan inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) mandatori, merupakan antara teras strategik yang dikenal pasti dalam Rangka Kerja Pelestarian Plastik 2021-2030, bagi mencari solusi berhubung isu sisa pascapengguna termasuk plastik.

Susulan itu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hubungan antara pengeluar dan pemilik jenama barangan pengguna (FMCG) di negara ini, diletakkan sebagai antara peneraju agenda kelestarian alam sekitar di Malaysia.

Beliau berkata kerjasama bersama pelbagai pihak khususnya dengan ‘Malaysian Recycling Alliance’ (MAREA) hari ini, turut membuktikan agenda pelestarian alam sekitar bukan hanya terletak pada kementerian itu sahaja.

“Penubuhan dan pengoperasian MAREA, menandakan pembentukan satu kumpulan EPR yang pertama di Malaysia. Matlamat dan hasrat MAREA juga selaras dengan kementerian untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 25 peratus pembungkusan plastik pascapengguna, menjelang 2025.

“MAREA merupakan salah satu contoh terbaik usaha sama ke arah pelestarian alam sekitar dengan memanfaatkan kepakaran, pengetahuan dan mobiliti sumber yang terlibat, dan kita berharap ia memberi inspirasi kepada pemain industri untuk mencapai misi yang sama,” katanya diperasmian ulang tahun pertama penubuhan MAREA di sini, hari ini.

MAREA yang ditubuhkan pada 4 Jan 2021 merupakan sebuah platform EPR sukarela bukan keuntungan, pimpinan industri pertama dianggotai 10 syarikat FMCG terkemuka di Malaysia, bertujuan mencetus perubahan positif dengan membina kesedaran tentang pendekatan ekonomi kitaran, untuk pengurusan sisa pembungkusan yang lebih cekap.

MAREA berganding bahu dengan kerajaan Malaysia dan pihak-pihak berkepentingan lain untuk bersama-sama meningkatkan kadar kutipan dan kitar semula, demi mewujudkan Malaysia yang lebih hijau, bersih dan lestari, dengan jumlah sisa buangan lebih rendah.

Di peringkat permulaan, MAREA akan memberi tumpuan kepada usaha mengutip, mengasing dan mengitar semula bahan-bahan pembungkusan pascapengguna, antaranya botol polietilena terefltalat (PET), kotak minuman terpakai dan pembungkusan plastik fleksibel.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata kira-kira 1.1 juta tan sisa plastik khususnya plastik sekali guna, dikutip setiap tahun di seluruh negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here