KUALA LUMPUR, 6 Feb — Seorang lelaki dan anaknya ditahan semalam kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan perkhidmatan pakej perkahwinan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur ACP Mohd Mahidisham Ishak berkata kedua-dua lelaki berusia 57 dan 25 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita berusia 24 tahun pada Januari lepas.

Beliau berkata wanita itu tertarik untuk mendapatkan perkhidmatan perunding perkahwinan dari sebuah syarikat yang dikendalikan dua beranak itu pada sekitar Mei tahun lepas yang meliputi tawaran pakej perkahwinan termasuk dewan, katering, pakaian pasangan pengantin dan jurugambar.

Wanita itu membayar deposit RM7,265 bagi mendapatkan perkhidmatan itu, namun tidak diberikan perkhidmatan seperti yang dijanjikan untuk majlis perkahwinannya.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur menerima laporan polis daripada wanita itu pada 3 Jan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Mahidisham berkata kedua-dua lelaki terbabit direman empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berdasarkan hasil siasatan, polis mengesyaki terdapat ramai lagi mangsa ditipu dan meminta mereka tampil untuk membuat laporan polis, katanya. 

Beliau turut menasihati peniaga supaya tidak menawarkan perkhidmatan atau menjual barangan sekiranya tidak ada kemampuan dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan alasan pandemik COVID-19 kepada pelanggan jika gagal menunaikan janji mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here