KUALA LUMPUR, 8 Feb — Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) kini meningkat kepada 663,641 setakat semalam (7 Feb), kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berkata Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 untuk Kanak-kanak (CITF-C) akan mengumumkan pelaksanaan program itu di peringkat sekolah.

“Pendaftaran dibuat oleh sekolah dan suntikan juga di sekolah dengan rakan-rakan,” katanya yang turut berkongsi info grafik mengenai pendaftaran PICKids setakat semalam menerusi catatan tersebut dengan pendaftaran tertinggi di Kuala Lumpur iaitu 70,900 kanak-kanak. 

Menurut Khairy bagi warga emas status vaksinasi akan menjadi tidak lengkap (warna putih dalam sijil digital MySejahtera) sekiranya tidak menerima dos penggalak sebelum 1 Mac. 

“Sama juga kepada semua penerima Sinovac tidak kira umur. Tingkatkan perlindungan anda untuk selamat daripada Omicron,” katanya dalam akaun Twitternya.

Khairy berkata sistem ujian dan isolasi COVID-19 kini sudah diautomasi secara digital dan seseorang yang mendapat keputusan positif COVID-19, perlu melapor terus di aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan  Arahan Pemantauan di rumah (HSO) secara digital.

“Jika tiada gejala atau gejala ringan (2A) tak perlu pergi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Kementerian Kesihatan. Pengasingan diri dan kemas kini status kesihatan menerusi MySejahtera,” katanya. 

Beliau berkata pengasingan diri dan HSO bertujuan mengelakkan kesesakan di CAC yang perlu melakukan saringan ke atas kes-kes yang bergejala teruk sahaja. 

“Jika anda bergejala atau mempunyai simptom ringan, duduk di rumah untuk pulih. Jika gejala yang dialami semakin teruk, maka dapatkan bantuan perubatan,” kata Khairy. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here