JOHOR BAHRU, 15 Feb  — Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ingin ditandingi parti itu, belum dimuktamadkan.

“Ia (jumlah kerusi DUN) akan diumumkan pada masa yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Warisan Johor di sebuah restoran, di sini malam ini.

Ditanya sama ada Warisan bergerak solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi PRN Johor, Ahli Parlimen Semporna itu berkata fokusnya ketika ini adalah untuk parti itu mendekati rakyat.

“Namun, perkara ini (solo atau kerjasama dengan parti lain) akan dilihat mengikut keadaan…ingin kita dampingi ialah mereka yang menentukan siapa yang memerintah bukan sahaja Johor, bahkan Malaysia,” kata beliau.

Mengulas khabar angin berhubung bekas Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang menyertai Warisan, Mohd Shafie berkata buat masa ini, Mazlan hanya meluahkan keinginan untuk membantu Warisan.

Januari lepas, Mazlan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa mengumumkan keluar daripada Bersatu, namun tidak menyertai mana-mana parti ketika itu serta menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional (BN).

Pada majlis itu, Mohd Shafie turut mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup Suhaimi Salleh, sebagai Ketua Koordinator Warisan Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Mac ini sebagai hari pengundian dengan penamaan calon pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here