SINGAPURA, 16 Feb — Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dikurniakan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura, Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) [(Perintah Perkhidmatan Terbilang (Tentera)], oleh Presiden Halimah Yacob di Istana petang tadi.

Upacara pengurniaan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen; Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How dan Zaqy Mohamad; Setiausaha Tetap (Pertahanan) Chan Heng Kee; Panglima Angkatan Pertahanan Leftenan Jeneral Melvyn Ong, serta pegawai kanan kerajaan dan pegawai tentera dari Singapura dan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan Singapura memaklumlan pengurniaan pingat itu sebagai menghargai sumbangan besar Afendi dalam meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Di bawah kepimpinan Affendi, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan ATM terus mengukuhkan hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin melalui latihan dua hala seperti Latihan Malapura, Latihan SEMANGAT BERSATU, dan Latihan SAREX MALSING, pertukaran profesional dan kursus latihan silang.

“Interaksi itu telah membolehkan kedua-dua angkatan tentera menjalin hubungan dan kepercayaan yang lebih erat,” menurut kementerian itu.

Kenyataan itu menyatakan komitmen padu Affendi terhadap kerjasama pertahanan serantau juga menyaksikan SAF dan ATM bekerjasama rapat dalam platform seperti Rondaan Selat Melaka, Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa, dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)/ADMM-Plus untuk meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau.

Affendi, yang berada di Singapura dari 15 hingga 17 Feb turut mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Terdahulu, Affendi memeriksa kawalan kehormat, dan mengadakan pertemuan dengan Dr Ng dan Ong di Kementerian Pertahanan.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan telah lama terjalin serta membincangkan respons kedua-dua negara terhadap cabaran keselamatan serantau.

Affendi turut melawat Pertunjukan Udara Singapura 2022 di Pusat Pameran Changi semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here