KUALA LUMPUR, 20 Feb — Kanak-kanak bawah 18 tahun yang dijangkiti COVID-19 boleh mengalami Multi System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C) iaitu keadaan kritikal yang boleh berlaku apabila terjadinya keradangan organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak Jun 2020 hingga Disember 2021, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 dengan mereka yang berusia bawah setahun melibatkan 24 kes, 1 hingga bawah 5 tahun (38 kes), 5 hingga bawah 9 tahun (64 kes), 9 hingga bawah 12 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

“Sehingga kini, tujuh kes (4 peratus) kematian kanak-kanak telah disebabkan oleh MIS-C susulan jangkitan COVID-19. Kanak-kanak juga berisiko mendapat Long-COVID (sindrom COVID-19 selepas fasa akut jangkitan),” katanya dalam kenyataan perkembangan COVID-19, hari ini. 

Beliau berkata kumpulan kanak-kanak yang berisiko tinggi untuk mengalami jangkitan COVID-19 yang serius adalah golongan pesakit kanak-kanak yang mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kencing manis, sedang menjalani rawatan menggunakan steroid (seperti pesakit autoimun dan transplan), kanser, asma dan obesiti. 

Memandangkan kanak-kanak kini merupakan golongan yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19, beliau berkata antara kaedah utama bagi mengurangkan risiko berkenaan adalah dengan kawalan kendiri dan vaksinasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here