BEIJING, 21 Feb  — Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 berjaya menggalakkan penyertaan 300 juta rakyat China dalam aktiviti sukan ais dan salji, sekali gus menjadikannya khazanah kepada seluruh umat manusia. 

Perkara itu disuarakan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dalam wawancara eksklusif bersama dengan Kumpulan Media China (CMG), pada Ahad.

Beliau berkata, elemen persahabatan, persefahaman dan kedamaian terserlah melalui semangat yang dipaparkan para atlet sepanjang temasya tersebut, sekali gus memperlihatkan bahawa Sukan Olimpik dapat mengatasi perselisihan politik.

“Contohnya, semangat kesukanan dan kebersamaan yang ditunjukkan atlet dari Ukraine dan Rusia sementara atlet China memberi sokongan kepada atlet Amerika Syarikat dan turut memberi sagu hati lencana Olimpik sebagai menzahirkan perasaan mesra,” kata Bach.

Beliau juga yakin sukan musim sejuk bakal mengubah gaya hidup manusia, sehingga membawa manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental, khususnya tatkala mendepani tempoh pandemik COVID-19.

Menurut Bach, kini lebih ramai golongan belia dilihat memahami nilai sukan melalui akitiviti ais dan salji, iaitu perpaduan, patuh akan peraturan, belajar, semangat berpasukan, selain terus menerokai dan mencapai had kemampuan sebenar masing-masing.

Beliau turut menjangka bahawa nilai pasaran aktiviti sukan ais dan salji China mampu mencatat USD150 bilion (RM627.67 bilion) menjelang tahun 2025, sekali gus menjadi pendorong besar kepada perkembangan sukan musim sejuk dunia.

Menyentuh mengenai penyiaran temasya sukan oleh CMG selaku media rasmi, Bach menyifatkan CMG berjaya menjalankan tugas dengan cemerlang dengan menyediakan liputan yang berkualiti.

“Liputan dan penyiaran CMG terhadap temasya sukan kali ini melakar sejarah dari segi skala dan kejayaannya.

“Usaha CMG tersebut telah menyemarakkan keghairahan rakyat China terhadap Sukan Olimpik Musim Sejuk, membolehkan mereka lebih mengenali temasya itu serta saling berkongsi keterujaan yang dibawa sukan berkenaan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here