KUALA LUMPUR, 23 Feb  — Pasukan pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor, yang berdepan pertuduhan membabitkan projek solar hibrid untuk sekolah luar bandar di Sarawak, menutup kesnya hari ini selepas memanggil dua saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 5 April untuk mendengar hujahan lisan daripada kedua-dua pihak selepas peguam Datuk Jagjit Singh, yang mewakili Rosmah, memaklumkan bahawa pembelaan menutup kesnya.

“Saya akan meluangkan masa sepanjang hari untuk mendengar hujahan. Dengan ini, perbicaraan yang berlangsung selama 42 hari dengan 25 saksi (23 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Rosmah) dalam beberapa pusingan PKP (Perintah kawalan Pergerakan) berakhir.

“Terima kasih kepada semua pihak atas bantuan sepanjang perbicaraan,” katanya.

Beliau turut menetapkan 9 Mac untuk pendakwaan memfailkan hujahan bertulis dan 30 Mac untuk pembelaan menjawab hujah itu.

Pada 18 Feb 2021, Mohamed Zaini mengarahkan Rosmah membela diri atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion selepas memutuskan bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui Rizal, sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah luar bandar di Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Pada prosiding hari ini, Mohamed Zaini menolak permohonan pasukan pembelaan Rosmah untuk memanggil saksi penting iaitu Saidi untuk memberi keterangan berhubung pengeluaran RM1.5 juta yang didakwa diberikan kepada Rosmah.

Beliau berkata pembelaan tidak membangkitkan sebarang alasan yang wajar untuk memanggil semula saksi pendakwaan ke-17 itu.

Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berhujah keterangan Saidi di mahkamah adalah bercanggah dengan kenyataan yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata saksi itu telahpun disoal balas secara ekstensif selama tiga hari dan menyifatkan tindakan pembelaan sebagai cuba melengah-lengahkan perbicaraan.   

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here