KEMAMAN, 25 Feb — Rata-rata penduduk yang terlibat banjir di sini menyifatkan banjir kali ini sebagai luar biasa kerana ia berlaku pada akhir Februari, berbanding kebiasaan pada November dan Disember setiap tahun.

Zaidi Usman, 61, berkata dia sangat terkejut apabila rumahnya dinaiki air paras pinggang orang dewasa awal pagi tadi kerana beranggapan banjir sudah ‘tamat’.

“Tak pernah berlaku banjir akhir Februari sepanjang 20 tahun saya tinggal di sini (Kampung Padang Kubu). Saya sudah selesai kemas rumah, alih kedudukan barang di tempat biasa.

“Cuaca kebelakangan ini pun sudah semakin baik, tiada lagi hujan lebat yang menandakan tengkujuh akan berakhir dalam tempoh terdekat, tak sangka pula banjir berlaku lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Padang Kubu di sini, hari ini.

Zaidi yang membuka kedai runcit mini di rumahnya, bagaimanapun bersyukur kerana barangan mudah rosak seperti beras, tepung dan gula berjaya dialihkan ke tempat lebih tinggi oleh suami dan anak-anaknya.

Seorang penduduk Kampung Padang Kubu, Salasiah Hamid, 27, pula berkata keadaan menjadi kelam-kabut sebaik sahaja rumahnya dinaiki air pada 5.30 pagi tadi.

Ini kerana dia dan suaminya Muhammad Jamel Mohd Noor, 29, langsung tidak menyangka banjir akan berlaku ketika ini, kerana sebelum ini paling lewat banjir berlaku adalah pada pertengahan Januari.

“Arus air tidak begitu kuat namun ia naik dengan cepat, memang terkejut sebab biasanya rumah saya jarang dilanda banjir kerana terletak agak tinggi berbanding rumah yang lain. Tahun lepas pun rumah saya tidak terjejas banjir,” katanya yang berpindah ke PPS itu bersama dua orang anak berusia dua dan lapan tahun.

Sementara itu, penduduk Kampung Teladas, Syafruddin Tarmizi, 34, berkata kali terakhir banjir berlaku pada hujung Februari ialah ketika dia masih kecil iaitu sekitar tahun 1990-an.

“Namun, penduduk kampung ini memang bersedia untuk berpindah ke PPS kerana rumah kami memang terletak berhampiran Jambatan Air Putih dan banjir kerap berlaku setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama,” katanya.

Setakat pukul 5 petang ini, seramai 828 mangsa daripada 235 keluarga ditempatkan di 13 PPS di tiga daerah iaitu Kemaman, Setiu dan Hulu Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here