KUALA LUMPUR, 3 Mac  — Sokongan bagi mandat vaksin di Malaysia amat kukuh apabila lebih 80 peratus penduduk menyokong langkah menunjukkan bukti vaksinasi COVID-19 untuk melakukan perjalanan, makan di restoran atau memasuki premis tempat kerja, demikian menurut satu kajian.

Kajian itu turut mendedahkan bahawa peratusan penduduk sama menyokong vaksinasi mandatori bagi sesiapa sahaja yang layak.

Ipsos Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kajian bertajuk ‘Mandat Vaksin’ itu menunjukkan bahawa 83 peratus penduduk Malaysia menyokong kuat atau agak menyokong syarat yang menghendaki orang ramai mendapatkan vaksin sebelum kembali melakukan aktiviti biasa seperti melancong.

Sebanyak 84 peratus pula menyokong kuat atau agak menyokong tindakan restoran meminta bukti vaksinasi untuk mereka yang ingin makan di dalam premis itu, majikan yang mewajibkan pengambilan vaksin sebelum pekerjanya kembali bertugas (83 peratus) dan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19 bagi sesiapa sahaja yang layak (82 peratus).

Kajian itu membabitkan sejumlah 20,525 orang dewasa secara dalam talian yang berumur di bawah 75 tahun di 30 negara dengan sampel Malaysia sebanyak 500.

Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Awam Ipsos Malaysia Lars Erik Lie berkata gelombang Omicron telah berada di kemuncaknya di Malaysia dan kelihatan semakin menyusut secara global yang mencetuskan keyakinan baharu bahawa kehidupan akan mula kembali normal.

“Bagaimanapun, penularan virus secara berterusan dalam bentuk varian baharu menunjukkan bahawa kita mungkin terpaksa belajar untuk hidup bersama dengannya berbanding mengharapkan agar ia lenyap sepenuhnya,” kata beliau.

Menurutnya, kebanyakan orang di seluruh dunia percaya bahawa mereka tidak akan berjaya menghentikan sepenuhnya penularan virus itu tanpa mengira langkah bagaimana yang sedang dilaksanakan.

Beliau berkata di kebanyakan negara, pelbagai dasar vaksin terus dirangka bagi mengurangkan impak negatif hidup bersama COVID-19 dan terdapat sokongan meluas untuk mengekalkan beberapa dasar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here