JOHOR BAHRU, 5 Mac — Kejayaan pemulihan ekonomi negara, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial yang sedang dikecapi ketika ini, adalah hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sentiasa berganding bahu menyalurkan keperluan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama erat itu adalah bagi memastikan tiada sesiapapun yang tertinggal, seterusnya menangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

“Pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia, dan Kerajaan tidak pernah alpa dalam menyediakan bantuan daripada segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Dalam usaha membantu Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif, antaranya menerusi Baucar Perlindungan Tenang, Satu Keluarga Satu Rumah, Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST), selain penyediaan Rumah Mampu Milik dan jalur lebar tanpa wayar.

Selain SBST yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun, Perdana Menteri berkata kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS.

Merujuk perkhidmatan pengangkutan awam di Johor, Ismail Sabri berkata sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai Mac, melibatkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian, dengan jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.

Kerajaan turut menawarkan rebat 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS), untuk kereta persendirian golongan B40.

Menyedari kepentingan pendigitalan dalam memudahkan urusan seharian Keluarga Malaysia, beberapa strategi dan inisiatif telah dirangka dan sedang dilaksanakan di beberapa kementerian, misalnya Pembangunan Sistem Janji Temu Klinik (SJTK) di klinik-klinik kesihatan.

Perdana Menteri berkata sistem itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih slot janji temu yang bersesuaian, tanpa perlu hadir ke premis kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here