SEGAMAT, 6 Mac — Lebih 7,500 wanita di Johor bakal menerima manfaat pembiayaan percuma bagi saringan awal kanser payudara (ujian mamogram) dan kanser serviks (ujian HPV DNA) pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif menerusi Program Woman Cancer Reproductive(WCaRe) anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu bertujuan memberi kesedaran kepada kaum hawa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif mereka.

“Bagi Johor sahaja, seramai 3,520 wanita akan menerima manfaat bagi ujian mamogram manakala seramai 3,960 orang lagi bagi ujian HPV DNA. 

“Kementerian saya juga akan terus komited untuk memastikan usaha ini berterusan dan tidak terhenti pada angka tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Tautan Kasih Sihat Ceria LPPKN @KPWKM di sini hari ini.

Beliau juga berkata empat Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor turut menerima bantuan kewangan keusahawanan di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).

Katanya bagi fasa pertama inisiatif itu, keempat-empat PAWE menerima peruntukan sebanyak RM60,015 manakala 10 keluarga yang baru menimang cahaya mata menerima Kit Dana KASIH berupa keperluan ibu berpantang dan barangan bayi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here