IPOH, 8 Mac — Operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini ditangguhkan petang ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ia berikutan pergerakan tanah masih dikesan berlaku di sekitar kawasan runtuhan batu, selain keadaan faktor cuaca yang tidak mengizinkan.

“Ini kerana kita tidak mahu dalam usaha (pasukan keselamatan) melakukan operasi, ada insiden yang tidak diingini berlaku. Kita menunggu keizinan dari pihak JMG (Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia) dan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), sebelum proses mengeluarkan mangsa di tempat kejadian.

“Operasi ini dijangka mengambil masa kira-kira dua hari untuk melakukan proses mengeluarkan mangsa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian yang turut disertai Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Azmi Osman, di sini hari ini.

Mior Faridalathrash berkata kejadian seumpama itu merupakan kali pertama berlaku di kawasan itu, dan syarikat yang mengendalikan kerja-kerja kuari tersebut mempunyai lesen yang sah.

Dalam pada itu, beliau berkata dua mangsa yang dipercayai tertimbus dalam kejadian itu dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43, manakala dua mangsa yang mengalami kecederaan iaitu Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah tulang kaki serta Pan Tam, 38, yang hanya cedera ringan.

Kedua-dua mereka telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Kita masih lagi menyiasat punca sebenar runtuhan itu berlaku. Berdasarkan siasatan, hari ini tiada proses letupan kuari dilakukan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi tadi, dua lelaki dikhuatiri tertimbus manakala dua lagi lelaki berjaya menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan.

Operasi itu membabitkan seramai 57 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi antaranya JBPM Perak dengan dibantu pasukan elit seperti Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM), polis, JMG, Pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak.

Sementara itu, isteri kepada Itam, Wak Uda Bahkim, 41, berkata dia berharap suaminya itu ditemukan dalam keadaan selamat.

“Saya tidak kisah (suami) ditemui (dalam keadaan) trauma ke, cedera ke, asalkan selamat. Saya minta pada Tuhan supaya suami saya selamat,” kata ibu kepada empat anak berusia antara dua hingga 15 tahun itu.

Wak Uda berkata dia mengetahui mengenai insiden itu melalui bapanya, Bahkim Kipak dan kali terakhir bertemu dengan suaminya kira-kira pukul 7 pagi tadi di rumah mereka di Kampung Jelintuh, Gopeng di sini semasa menyediakan sarapan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here