KUALA TERENGGANU, 10 Mac — Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM23 juta melalui Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) pada tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 425 pelajar cemerlang di negeri itu.

Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata daripada jumlah itu, RM20 juta adalah untuk 350 pelajar Ijazah Sarjana Muda manakala RM3 juta lagi untuk 75 pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

“Biasiswa SPC ini mula diperkenalkan pada 2019 dan sehingga kini, seramai 632 pelajar telah mendapat manfaatnya.

“Selain biasiswa SPC, ada banyak lagi skim penajaan kendalian Yayasan Terengganu antaranya skim pinjaman one-off yuran pengajian ijazah pertama luar negara, skim pinjaman pelajaran top up dan skim pinjaman latihan kemahiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Yayasan Terengganu juga baru bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kedah untuk menawarkan penajaan program pengajian perubatan dan pembedahan (MBBS).

“Buat permulaan, seramai 10 pelajar akan ditaja dengan anggaran kos sebanyak RM3.2 juta bagi tempoh lima tahun. Selain itu, yayasan juga akan menghantar 15 pelajar bagi melanjutkan pengajian di Emir Abdelkader University Of Islamic Sciences, Constantine, Algeria pada awal September depan,” katanya.

Mohd Azmi turut menasihatkan pelajar agar sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan kerana banyak bantuan disediakan oleh Yayasan Terengganu demi memastikan tiada yang keciciran dalam pembelajaran.

“Contohnya, kita ada skim bantuan khas persediaan untuk semua pelajar yang layak ke Sekolah Berasrama Penuh sebanyak RM500, untuk pelajar Asasi, Matrikulasi dan A-Level (RM500), Diploma (RM750) manakala Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah pula RM1,000 seorang.

“Bantuan ini telah dimulakan pada 1995 untuk meringankan beban perbelanjaan para pelajar untuk persiapan diri dan pendaftaran ke SBP serta Institut Pengajian Tinggi (IPT). Bantuan one-off ini diberikan kepada semua anak Terengganu yang memenuhi syarat ditetapkan dan berjaya melanjutkan pengajian di mana-mana IPT sama ada awam atau swasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here