KUALA PERLIS, 12 Mac — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis menahan tiga bot fiber yang disyaki melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu secara haram di perairan negeri ini, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata ketiga-tiga bot berkenaan ditahan sekitar pukul 4 petang di beberapa lokasi berbeza selepas menerima aduan awam menerusi Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Perlis.

Katanya, kesemua enam suspek terdiri daripada tiga tekong dan tiga kru itu adalah warga tempatan berusia antara 21 hingga 47 tahun.

“Anggaran keseluruhan rampasan melibatkan tiga bot, enjin, sangkar besi dan siput retak yang bernilai RM19,800, namun hasil tangkapan mereka diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati modus operandi penangkapan siput retak seribu ini adalah menggunakan enjin sangkut bergalah dan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta memasang peralatan menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Mohd Hashim berkata penangkapan siput di perairan Kuala Perlis merupakan satu kesalahan memandangkan Jabatan Perikanan Negeri Perlis tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen bagi aktiviti berkenaan.

“Aktiviti ini boleh menyebabkan habitat ekosisitem marin terjejas dalam jangka masa panjang, mengancam pembiakan dan memusnahkan benih-benih ikan di dasar laut.

“Retetan aktiviti haram ini juga, nelayan pesisir pantai terpaksa menanggung kerugian apabila pukat mereka rosak dan koyak kerana tersangkut kulit siput yang telah mati,” katanya menambah tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan komuniti nelayan yang ingin mengaut keuntungan segera, menjadi punca aktiviti ini masih berlaku.

Sebelum ini Bernama melaporkan mengenai tindakan nelayan luar Perlis menceroboh perairan Kuala Perlis bagi mengaut hasil laut di sini sehingga menimbulkan keresahan nelayan setempat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here