KUALA LUMPUR, 14 Mac — ‘Final award’ berhubung isu tuntutan waris Sultan Sulu yang dikeluarkan dalam prosiding timbang tara di Mahkamah Arbitari Paris, Perancis tidak akan menjejaskan kedudukan Sabah sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, kata Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata Malaysia telah banyak kali menegaskan tidak mengiktraf dan melayan sebarang tuntutan ke atas Sabah, yang telah diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai antara yang menubuhkan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963. 

“Ingin ditegaskan kerajaan Malaysia tidak berdiam diri, sebaliknya telah mengambil beberapa langkah perlu untuk menghentikan prosiding tuntutan itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini. 

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Parlimen dan Undang-undang) berkata kerajaan tidak mengiktiraf tuntutan dan prosiding timbang tara berkaitan arahan pembayaran pampasan berjumlah RM62.59 bilion ($14.92 bilion) kepada waris Sultan Sulu itu.

Ini memandangkan lantikan penimbang tara yang dilantik, Dr Gonzalo Stampa telah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Berhubung isu Pulau Pisang di Johor, beliau menjelaskan kedaulatan pulau itu tidak dipertikaikan Singapura, dan ia adalah hak milik Malaysia, malah Singapura juga mengiktiraf hak kedaulatan itu berdasarkan perjanjian dimeterai antara Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Sweethenham pada 6 Okt 1900.

“Hanya pengurusan rumah api di sana berada di bawah pengurusan dan pentadbiran Maritime and Port Authority of Singapore,” katanya. 

Saifuddin berkata Malaysia mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap Pulau Pisang dan pekerja di rumah api itu perlu mendapat kebenaran negara serta perlu melalui laluan imigresen Malaysia di Kukup, Johor untuk keluar dan masuk ke kawasan rumah api itu.

Berkaitan keselamatan pejabat dan kakitangan kedutaan  yang berada di luar negara,  beliau berkata kerajaan sama sekali tidak berkompromi terhadap keselamatan mereka misalnya dengan melakukan proses evakuasi jika perlu. 

“Pada waktu sama dari semasa ke semasa kita juga menaik taraf sistem keselamatan pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di luar negera contohnya seperti kamera litar tertutup, kad akses dan pendaftaran pelawat,” katanya. 

Menyentuh konflik Rusia-Ukraine, Saifuddin berkata Malaysia telah menyatakan pendirian di pelbagai peringkat untuk sentiasa berkecuali, namun sentiasa menghormati hak kemerdekaan sesebuah negara dan integriti sempadan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here