KUALA LUMPUR, 14 Mac — Memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kemasukan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang meliputi pembantu rumah akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia minggu ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Bercakap dalam sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata MoU itu akan ditandatangani di Jakarta, Indonesia.

Pada 6 Feb lepas, media melaporkan rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017 masih gagal diselesaikan dalam tempoh terdekat manakala MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara pada 8 Feb ditangguhkan.

Dalam perkembangan lain, Saravanan berkata sebanyak 148,300 pekerjaan baharu melalui pelaburan dalam negara berjaya diwujudkan tahun lepas dengan 109,605 atau 73.9 peratus daripada jumlah itu adalah dalam kategori mahir dan separuh mahir. 

“Walaupun begitu, sebahagian daripada pekerjaan yang disebutkan melibatkan sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) maka kita masih ada isu iaitu warga tempatan, walaupun ada pekerjaan di peringkat bawah, mereka masih lagi tidak menerima dan ini menyebabkan kerajaan masih perlu bergantung kepada warga asing,” katanya.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika menggulung perbahasan usul sama bagi kementerian itu pula berkata PLUS Malaysia Berhad dan syarikat konsesi lebuh raya lain diarah menyemak keperluan penambahan lokasi kawasan teduhan motosikal serta keperluan lain yang lebih selamat bagi penunggang motosikal di lebuh raya. 

Beliau berkata selain itu, papan tanda akan ditambah baik untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya supaya tidak berhenti di kawasan yang bahaya seterusnya mengelak berlaku kemalangan.

“Semua jambatan di lebuh raya yang mempunyai ruang di antara tiang jambatan dan cerun jambatan ada disediakan rel adang supaya penunggang dapat berteduh dan berlindung di belakang rel adang. Namun ada segelintir penunggang yang berada di luar rel adang yang boleh mengundang bahaya. 

“Terdapat sebanyak 186 kawasan teduhan motosikal di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan yang berasingan dan di bawah jambatan. Lokasi kawasan teduhan motosikal ditandakan di papan tanda lebuh raya untuk membantu penunggang motosikal bergerak ke lokasi itu dengan selamat,” katanya. 

Persidangan dewan bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here