KUALA LUMPUR, 18 Mac — Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menggesa kalangan perniagaan untuk berubah dan melaksanakan pembaharuan serta meningkatkan kerjasama dengan rakan serantau bagi merebut peluang besar dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong juga menyifatkan aspek teknologi dan pendigitalan sebagai pemacu perubahan selain menjadi pengupaya untuk bersaing secara cekap di peringkat global.

“Ketika kerajaan komited dalam menyediakan ekosistem kondusif untuk memupuk pertumbuhan perniagaan tempatan melalui dasar, program dan sokongan berterusan serta memudahkan syarikat menceburi industri dan pasaran baharu, namun perniagaan yang perlu bangkit bertindak pantas menerima perubahan serta merebut peluang tersebut,” katanya pada seminar ‘China-ASEAN in RCEP Implementation: Are Businesses Ready for RCEP’ di sini, hari ini. 

RCEP berkuatkuasa di Malaysia pada hari ini, sekali gus membuka jalan bagi integrasi negara ini dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion orang.

Lim turut menggesa komuniti perniagaan untuk meninjau program pembangunan kapasiti yang disediakan dalam rangka kerja RCEP yang membolehkan pembangunan serta pengembangan rantaian bekalan dalam negara anggotanya.

“Pengaturan aspek pembangunan kapasiti itu dapat memastikan bahawa ekonomi di tahap pembangunan dan perniagaan yang berbeza juga berpeluang untuk memaksimumkan manfaat pelaksanaan komitmen masing-masing,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Malaysia berpeluang meraih manfaat daripada integrasi pasaran lebih meluas susulan lokasinya di tengah-tengah rantau ini yang strategik, pengurangan halangan perdagangan serta kemudahan perdagangan lebih baik yang dapat meningkatkan lagi akses perniagaan ke pasaran negara lain pada kos lebih rendah.

“Bagaimanapun, perniagaan perlulah bertindak pantas berikutan persaingan sengit,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga melihat RCEP dapat membuka peluang lebih luas ke arah pemulihan ekonomi pasca pandemik selain kesempatan mengembangkan perniagaan dalam rantau Asia Pasifik.

Pada masa sama, Lim turut memberi jaminan bahawa MITI akan terus berusaha untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan yang menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta matlamat pembangunan mampan (SDG) selain mewujudkan persekitara lebih kompetitif dan mesra perniagaan.

Mengulas hubungan perdagangan Malaysia-China, beliau menggesa syarikat-syarikat Malaysia untuk memanfaatkan kekukuhan hubungan kedua-dua negara untuk bekerjasama dengan syarikat China dan asing yang berminat untuk berkembang ke pasaran negara itu yang besar.

Malah, mereka juga boleh memanfaatkan peluang untuk menjalin kerjasama dengan syarikat China untuk berkembang ke pasaran yang melangkaui negara tersebut.

Beliau berkata data China menunjukkan hubungan dagangan Malaysia dengan negara berkenaan berjumlah US$176.80 bilion (US$1=RM4.20) — angka tertinggi pada 2021.

“Selain itu, ASEAN pula merupakan rakan serantau terbesar China dengan jumlah perdagangan mencecah US$878.21 bilion,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here