KUCHING, 21 Mac — Pengunjung ke Sarawak tidak lagi perlu membuat permohonan menerusi aplikasi EnterSarawak atau mengisi borang deklarasi E-Health apabila pintu sempadan negara dibuka pada 1 April ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mereka hanya perlu memuat turun aplikasi MySejahtera dan memenuhi segala keperluan lain ditetapkan.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata prosedur operasi standard (SOP) terperinci berhubung perkara itu akan disediakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi.

“Pasukan kita sedang membuat persiapan di lapangan terbang, kita harap apabila sempadan negara dibuka, kesesakan di lapangan terbang akan dapat diminimumkan. Diharapkan kita akan dapat tampilkan satu sistem yang lebih tersusun.

“Pasukan kita juga sedang menyediakan SOP, dan perbincangan masih sedang dilaksanakan dengan Indonesia dan Brunei,” katanya dalam persidangan media di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan negara akan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik dan sempadan negara akan dibuka kepada pelawat asing, pada 1 April ini.

Perdana Menteri berkata langkah itu akan merancakkan lagi ekonomi negara secara keseluruhan, terutama dalam industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Sementara itu Uggah berkata semasa negara memasuki fasa peralihan berkenaan, SOP bagi program dan aktiviti kegamaan akan dikeluarkan oleh Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) Sarawak.

“Bazar Ramadhan dan bazar Gawai juga akan dibenarkan tahun ini, dengan SOP akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here