IPOH, 22 Mac — Penyelidik Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) Mohd Khairul Anuar Jamaluddin telah memenangi Anugerah Juruteknik Sains Negara 2021 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Beliau mendapat pengiktirafan itu bagi kerja-kerja penyelidikannya mengenai Selulosa Nanofibers daripada Palm Bio-waste sebagai Membran Pemisah untuk Electric Double Layer Capacitor (EDLC) dengan sisa bio palma (tandan buah kosong) digunakan sebagai alternatif kepada kertas untuk membangunkan pemisah bagi EDLC.

Penggunaan sisa bio membantu mengurangkan atau menangguhkan penggunaan sumber asli dan jumlah sisa yang dijana, justeru sisa bio ialah bahan alternatif yang lebih hijau dan mampan untuk pemisah dalam EDLC bagi menggantikan pemisah kertas komersial yang diperbuat daripada pokok.

Susulan kejayaannya itu beliau menerima hadiah wang tunai RM10,000, sijil dan trofi daripada Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Dr Nagulendran Kangayatkarasu.

Mohd Khairul Anuar berkata kemudahan penyelidikan dan makmal di UTP memainkan peranan utama dalam penyelidikannya, terutama persekitaran penyelidikan dan budaya inovasi serta kreativiti di universiti, sangat menjurus kepada penemuan baharu dan ciptaan cemerlang.

“Penyelidikan dan pencapaian ini adalah usaha berpasukan, dan saya amat bertuah kerana bekerja dengan bakat-bakat cemerlang dalam UTP – daripada penyiasat utama, pemimpin projek dan ahli akademik, sehingga rakan teknologi saya. Ia tidak mungkin berlaku tanpa semua faktor dan sokongan ini,” katanya dalam kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here