KUALA TERENGGANU, 22 Mac — Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang mengharamkan sepenuhnya penjualan telur penyu dan tuntung laut di Terengganu bermula 1 Jun ini, tidak akan menjejaskan pendapatan golongan pemajak telur haiwan berkenaan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata pemajak masih boleh meraih pendapatan daripada penjualan telur penyu, namun ia tertakluk kepada beberapa pindaan.

“Antara pindaan itu ialah semua telur penyu perlu dijual sepenuhnya kepada Jabatan Perikanan, iaitu jabatan yang  bertanggungjawab atau mana-mana pihak yang diberi kebenaran (beli telur) bagi tujuan penetasan sahaja.

“Maknanya tiada lagi telur penyu akan dijual di Pasar Payang bermula Jun ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) yang ingin tahu tentang nasib pemajak telur penyu setelah penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951 pindaan 2021 bermula 1 Jun ini.

Azman berkata kadar (harga) pembelian telur penyu juga akan dikurangkan supaya ia tidak membebankan kewangan kerajaan negeri, Jabatan Perikanan serta pihak-pihak terlibat.

Mengenai sama ada pelaksanaan pindaan enakmen itu mampu mengembalikan kegemilangan negeri ini sebagai lokasi utama pendaratan penyu, Azman berkata ia merupakan satu penilaian yang sangat subjektif.

“Sehingga kini Terengganu masih negeri yang merekodkan jumlah tertinggi bagi pendaratan penyu di Semenanjung, tapi masih dikenali sebagai satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu.

“Dengan pindaaan enakmen ini, imej Terengganu sebagai hab jualan telur penyu akan dapat dipadamkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Alias mengenai bilangan pemajak dan kawasan pajakan telur penyu di Terengganu, Azman berkata pada 2021 terdapat 21 kawasan pajakan dengan jumlah pemajak hampir menyamai jumlah kawasan terbabit.

Dalam pada itu Azman turut memberitahu dewan bahawa pada 2021 sebanyak 7,378 sarang penyu direkodkan di pantai negeri ini dan sebanyak 582,096 biji telur penyu telah dieram.

“Daripada jumlah telur yang dieram itu sebanyak 432,321 anak penyu berjaya dilepaskan dan kalau ikut statistik umum, daripada 1,000 anak penyu yang dilepaskan hanya seekor kekal hidup sehingga dewasa dan kembali ke tempat di mana ia menetas,” katanya.

Menurutnya kali terakhir penyu spesies Belimbing dikesan mendarat dan bersarang di pantai negeri ini ialah pada 2017 dan didapati sebanyak 124 biji telur dihasilkan namun tidak menetas.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN hari ini, Azman berkata kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM600,000 untuk pelaksanaan keseluruhan program pemuliharaan penyu di negeri ini.

Katanya jumlah itu dijangka meningkat lebih RM300,000 lagi selepas pelaksanaan pindaan enakmen penyu nanti, antaranya susulan hanya pihak kerajaan yang akan membeli telur penyu untuk tujuan penetasan.

“Jika didapati ada mana-mana pemajak telur penyu yang melanggar peraturan (jual di pasaran gelap), tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang akan dikenakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here