SINGAPURA, 24 Mac — Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini berkata republik itu akan akan melonggarkan peraturan perjalanan rentas sempadan memandangkan keadaan Omicron kini terkawal.

“Sebelum ini, kita berhati-hati kerana belum pasti mengenai kesan Omicron. Hampir semua kes kita adalah domestik, yang berpunca daripada komuniti,” kata Lee dalam kemas kininya mengenai situasi COVID-19 republik itu yang disiarkan secara langsung di sini.

Lee berkata kes jangkitan melibatkan ketibaan dari luar negara hanya menyumbang sebahagian kecil daripada kes.

“Kita boleh membuka sempadan dengan selamat dan akan memperkemas secara drastik keperluan ujian dan kuarantin untuk pengembara,” katanya.

Lee berkata Rangka Kerja Perjalanan Vaksin yang dipermudahkan akan membolehkan rakyat Singapura melancong ke luar negara dengan lebih mudah – hampir seperti sebelum COVID-19 – dan ia juga akan menarik balik kebanyakan sekatan untuk pelawat lengkap divaksin yang memasuki Singapura.

“Ini akan menghubungkan semula Singapura dengan dunia. Ia akan merangsang perniagaan, khususnya sektor pelancongan dan membantu Singapura mengembalikan semula kedudukannya sebagai hab perniagaan dan penerbangan,” tambahnya.

Di peringkat negara, perdana menteri juga mengumumkan republik itu akan membuat beberapa perubahan kepada Langkah Pengurusan Selamat (SMM) yang akan berkuat kuasa Selasa depan (29 Mac).

Antaranya pilihan untuk memakai pelitup muka di kawasan terbuka kerana risiko penularan luar adalah jauh lebih rendah, namun penggunaannya diwajibkan di dalam bangunan.

Beliau berkata republik itu juga akan membenarkan sehingga 75 peratus pekerja yang boleh bekerja dari rumah kembali ke tempat kerja, dan meningkatkan had kapasiti untuk acara dan perhimpunan yang lebih besar – iaitu 75 peratus untuk kapasiti 1,000 orang.

Sehingga 23 Mac 2022, Singapura mencatatkan 1,044,661 kes COVID-19 sejak wabak itu dikesan dengan 1,220 kematian.

Negara pulau itu yang melaporkan kes COVID-19 pertamanya pada Januari 2020 mencatatkan kes baharu COVID-19 harian tertinggi iaitu 26,032 pada 22 Feb 2022.

Sehingga 22 Mac 2022, kira-kira 95 peratus penduduk yang layak telah melengkapkan vaksinasi dan 71 peratus daripada jumlah penduduk sudahpun menerima suntikan penggalak.

Sejurus selepas bersiaran langsung, Lee berkata beliau menghubungi rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui telefon.

“Memandangkan kedua-dua pihak mencapai kemajuan yang baik dalam menguruskan pandemik itu, kami bersetuju untuk membuka semula sempadan darat dan udara,” katanya di laman Facebooknya.

“Langkah utama ke arah hidup dengan COVID-19 ini akan membantu kedua-dua negara bangkit lebih kuat selepas  krisis,” tulisnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here