KUALA LUMPUR, 25 Mac — Sebanyak 152 kes atau 0.63 peratus daripada 24,316 kes baharu COVID-19 dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga hingga lima, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata baki 24,164 kes atau 99.37 peratus pula terdiri daripada kategori satu dan dua, sekali gus menjadikan kumulatif kes COVID-19 dalam negara berjumlah 4,079,242 manakala 25,512 kes sembuh direkodkan semalam, menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 3,796,975.

“Daripada 152 kes kategori tiga hingga lima, 43 kes melibatkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 61 kes telah menerima dua dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 48 kes telah menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa COVID-19 negara, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,264 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital pula melibatkan 487 kes atau 38.5 peratus dalam kategori tiga, empat dan lima manakala 777 kes atau 61.5 peratus adalah kategori satu dan dua.

Beliau berkata sebanyak 321 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 194 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, Putrajaya mencatatkan 100 peratus pengisian katil kes kritikal (ICU) dengan lima negeri lagi merekodkan peratusan pengisian lebih 50 peratus iaitu Perlis (55 peratus), Selangor (59 peratus), Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (53 peratus) manakala Kelantan 52 peratus.

Dr Noor Hisham berkata nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 negara kini ialah 0.91 dan negeri yang mencatat Rt tertinggi ialah Selangor dengan 1.06 manakala negeri lain merekodkan nilai Rt di bawah 1.0.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here