JOHOR BAHRU, 24 Mac — Johor akan mencatat lembaran baharu dalam usaha pemulihannya apabila sempadan Malaysia dan Singapura yang dibuka pada 1 April depan bakal memacu impak positif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

  Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mengulas mengenai pembukaan sempadan menyifatkan pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sebagai berita paling baik untuk rakyat.

Beliau juga turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, yang bergandingan bahu membantu usaha pembukaan semula sempadan kedua-dua negara.

“Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April.

“Ini pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Sehubungan itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri akan memastikan segala persiapan bagi pembukaan sempadan berada pada tahap yang baik serta mengambil kira isu-isu kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berharap agar dapat bertemu dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat, bagi membincangkan mengenai hala tuju pembangunan negeri Johor dan Singapura pada masa akan datang.

Ismail Sabri dan Lee menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Republik Singapura, hari ini, berkata kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April, selaras dengan fasa peralihan ke endemik.

Malaysia dan Singapura juga akan membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat, tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19 termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here