NEW YORK, 25 Mac — Dialog dan rundingan satu-satunya jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan krisis Ukraine, kata wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Zhang Jun.

Beliau berkata demikian ketika berucap di sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Khamis.

“Dialog dan rundingan merupakan satu-satunya pendekatan untuk mengakhiri krisis ini. Kami (China) akan terus terlibat secara membina dalam menyumbang ke arah penyelesaian yang aman,” katanya.

Dalam ucapannya itu beliau turut menyuarakan mengenai pendirian China berhubung situasi kemanusiaan di Ukraine. 

Zhang berkata keadaan kemanusiaan di Ukraine yang semakin memburuk menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa, selain ramai turut kehilangan tempat tinggal.

“Keutamaan sekarang adalah pihak yang berkonflik bersabar dan bertenang, dan berusaha ke arah gencatan senjata bagi mencegah berlakunya krisis kemanusiaan secara besar-besaran,” ujarnya.

Mengenai penglibatan China dalam membantu meredakan krisis berkenaan, Zhang menyatakan, China sudah beberapa kali menghulurkan bantuan kemanusiaan berbentuk barangan keperluan kepada Palang Merah Ukraine.

Dalam pada itu, beliau menyeru pihak terbabit supaya mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam usaha melindungi nyawa rakyat terutamanya wanita dan kanak-kanak, serta memudahkan pemindahan dan operasi menyelamat.

Zhang turut mengakui, selain daripada ancaman COVID-19, kesan sampingan akibat krisis Ukraine juga dirasai dunia, sekali gus memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan perdagangan, kewangan, tenaga, barang makanan dan rantaian bekalan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here