MELAKA, 28 Mac — Pengusaha hotel dan restoran di negeri ini disaran supaya tidak menawarkan sajian atau bufet berbuka puasa pada harga tinggi sepanjang Ramadan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pihak hotel diminta menawarkan harga berpatutan  sekali gus menarik lebih ramai orang menikmati juadah di premis mereka.

“Jangan melihat kepada harga tetapi jumlah orang yang datang itu ramai. Jadi ia situasi menang-menang dan saya percaya pihak hotel boleh kekalkan harga seperti sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Leypark Station dan Bazar Mega di Dataran Sejarah di sini malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman.

Sulaiman berkata kerajaan negeri serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka juga akan sentiasa bekerjasama bagi memastikan harga barangan kawalan sentiasa dipatuhi. 

“Kita faham kenaikan harga barang pada waktu ini akibat kenaikan harga minyak dan minyak kelapa sawit tetapi kita akan mengikuti arahan pemantauan yang dibuat oleh peringkat pusat dan kita akan laksanakannya,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman berkata Program Melaka Bebas Berniaga yang diperkenalkan kerajaan negeri pada 2020 akan diteruskan pada Ramadan ini.

Beliau berkata peniaga boleh menjalankan operasi perniagaan di mana-mana lokasi sesuai termasuk di hadapan rumah mereka asalkan tidak mengganggu lalu lintas, keselamatan pelanggan serta menghalang laluan awam.

“Mohon saja lesen perniagaan di semua pihak berkuasa tempatan (PBT), insya-Allah PBT akan permudahkan tetapi mereka perlu memastikan tahap kebersihan di kawasan perniagaan sentiasa terjaga dan patuhi prosedur operasi standard ditetapkan.

“Di Leypark Station ini juga, ramai peniaga menyatakan mereka akan meneruskan perniagaan seperti biasa sepanjang Ramadan ini,” katanya. 

Mengenai Leypark Station yang beroperasi sejak Disember lepas, Sulaiman berkata beberapa penambahbaikan akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan tempat bersantai itu menjadi ikon tarikan pelancongan di Melaka.

Antaranya adalah memaksimumkan penggunaan pentas di Dataran Sejarah dengan mengadakan persembahan oleh golongan muda yang berbakat.

“Lepas raya nanti, kita akan adakan aktiviti seperti melukis, buskers (pemuzik jalanan) atau pengucapan awam di pentas itu sebagai tambah nilai kepada lokasi ini yang kini semakin mendapat sambutan,” katanya dengan menambah terdapat 90 peniaga di Leypark Station setakat ini dengan 17 daripadanya merupakan golongan terjejas akibat COVID-19.

Sulaiman turut menasihatkan peniaga dan pengunjung Leypark Station sentiasa menjaga kebersihan memandangkan kawasan tersebut terletak hampir di pintu masuk utama ke Melaka.

Sementara itu, Shadan berkata tiga Bazar Aidilfitri akan diadakan sepanjang Ramadan ini iaitu di Dataran Sejarah/Leypark Station, Mydin Ayer Keroh dan KipMall Bachang.

“Setakat ini pihak penganjur masih belum dapat memastikan berapa jumlah sebenar peniaga yang akan terlibat namun di Dataran Sejarah ini, kita jangka lebih 100 peniaga dan ia akan menjadi bazar terbesar dalam kawasan MPHTJ,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here