KUALA LUMPUR, 31 Mac — Dewan Negara akan membahaskan usul berkaitan aplikasi MySejahtera pada persidangan petang ini selepas mendapat persetujuan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

Rais berkata usul yang dibawa Senator Muhammad Zahid Md Arip itu telah memenuhi tiga syarat di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara iaitu bersifat tertentu, berkepentingan orang ramai dan berkehendak disegerakan.

“Saya telah menerima satu pemberitahuan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 17 (1) oleh Senator Muhammad Zahid Md Arip pada 29 Mac lepas dan ia seharusnya mendapat pemerhatian.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (3), usul ini akan dibahaskan petang ini, Khamis, 31 Mac, 2022 di dalam dewan ini. Saya membenarkan pihak pencadang untuk membahas selama 30 minit dan kerajaan akan menjawab selama 30 minit, tertakluk kepada permohonan dan penyataan serta ahli yang berhormat boleh sertai perbahasan itu,” katanya selepas sesi soal jawab.

Terdahulu Muhammad Zahid ketika membawa usul tersebut meminta Dewan Negara membahaskan berkenaan kontroversi keselamatan data peribadi rakyat Malaysia dalam aplikasi MySejahtera susulan langkah memilih syarikat swasta MySJ Sdn Bhd untuk meneruskan pengurusan aplikasi itu.

Katanya individu penting dalam syarikat itu juga mempunyai hubungan dan kaitan secara langsung dengan syarikat KPISoft Sdn Bhd yang membangunkan aplikasi itu.

“Justeru usul ini berkehendakan disegerakan kerana wujud kekhuatiran bahawa data mereka boleh disalah guna dan jika itu berlaku ia hanya akan mencetuskan kemarahan rakyat kepada kerajaan.

“Selain itu usul saya kemukakan ini melibatkan kepentingan orang awam yang memerlukan penjelasan secara terperinci oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kerana MySejahtera adalah aplikasi tunggal yang diwajibkan penggunaannya kepada rakyat,” katanya.

Menurut Muhammad Zahid, sebarang kegagalan untuk kerajaan tampil menjawab persepsi, dakwaan serta tuduhan mengenai kontroversi MySejahtera ini hanya akan memberi mesej salah serta akan merencat dan mencacatkan usaha memerangi pandemik COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here